Saturday, March 16, 2013

Pengenalan Silat Lian


Di Malaysia terdapat beberapa Perguruan Silat yang menggunakan nama "Silat Lian", di antaranya:
  1. Silat Lian
  2. Silat Lian Yunan
  3. Lian Padukan
  4. Silat Lian Kwantung
  5. Silat Gayang Lian
  6. Gerak Silat Lian
  7. Silat Lian Ilham
Silat ini dikatakan bukan berasal dari silat Melayu tetapi berasal dari daerah YunnanChina. Ia dibawa oleh pedagang pedagang Cina yang beragama Islam. Silat Lian tersebar secara meluas di negeri pantai timur seperti PahangTerengganu dan Kelantan. Ia juga terdapat di sebelah Johor iaitu di daerah Mersing. Di sana ia dikenali sebagai Silat Buah Pukul MersingSilat Gayang Lima,Silat Yunan dan Silat Senjata Lapan.

Silat Gayang Lian
Nama asal perguruan ini adalah Silat Lian Buah Pukul semasa ia mula diasaskan pada tahun 1970an. Pada tahun 1990an, nama perguruan ini telah ditukar kepada Silat Gayang Lian.
Silat ini telah dibawa dari Mersing, Johor oleh Guru Atan Hussein dan dikembangkan di Rompin, Pahang. Guru Zol Haji Mat Lela kemudiannya telah diamanhkan oleh Guru Atan untuk mengembangkannya di Maran, Pahang pada tahun 1970aan dan kemudiannya ke Pekan, Pahang sehingga hari ini. Guru Zol juga adalah pewaris Seni Pencak Silat Sangkar Rewana.

Silat Lian Yunan
Sebuah Perguruan Silat yang berpusat di Kampung Sungai Puteri, Rompin, Pahang. Dipimpin oleh Abdul Rahim bin Mohamad selaku Guru Utama yang mempelajari silat tersebut dari ayahnya, Mohamad bin Ali. Mohamad bin Ali mempelajari silat ini di Mersing, Johor.

Silat Lian Kwantung
Silat Lian Kwantung ialah sebuah Perguruan Silat yang bergerak di Pahang. Silat ini adalah gabungan silat aliran Lian Yunan dan seni bela diri Kwantung. Ia telah dikembangkan oleh Allahyarham Chik Wan. Di antara murid beliau ialah Muhammad bin Deraman, Hassan bin Deraman dan Pak Bakar. Silat ini mempunyai 8 tarian asas untuk menjadi buah dalam pergerakan serangan dan bela diri. Ia diikuti dengan buah-buah pukulan dengan proses potong satu, potong dua, potong tiga dan lapis. Selepas itu diajar pula ilmu pertarungan dengan cara berliko dan permainan guru. Senjata tradisional yang diajar termasuk tekpi dan tongkat.

Lian Padukan
Lian Padukan adalah sejenis seni beladiri yang berasal dari Yunnan, China. Ia dibawa ke Singapura oleh seorang pedagang Arab dari Yunan bernama Syed Abdul Rahman Yunani pada kurun ke-18. Beliau berketurunan Saidina Semaun Al-Radzi, pengasas sebenar aliran Buah Pukul yang kini masyhur di selatan Semenanjung Malaysia.
Dalam sejarah, tercatat satu insiden di pelabuhan Singapura di mana Syed Abdul Rahman bertempur dengan 8 orang penarik lanca akibat perselisihan faham. Akhirnya, Syed Abdul Rahman dengan mudahnya mengalahkan mereka.
Berita itu sampai ke pengetahuan Sultan Ibrahim, sultan Johor ketika itu, lalu baginda menitahkan pengawal peribadinya Datuk Awang bin Ali (Awang Daik) untuk ‘menyiasat’ kehebatan Syed Abdul Rahman. Menurut firasat Awang Daik pula, beliau tidak mampu menewaskan Syed Abdul Rahman berseorangan, lalu beliau meminta izin dari sultan untuk membawa sahabatnya, Pak Long Muhammad Yasin Yunus yang merupakan Ketua Polis Muar ketika itu.
Ketika kedua-duanya bertemu dengan pedagang Arab itu, dan setelah berkali-kali diumpan menunjukkan kebolehannya, Syed Abdul Rahman terpaksa bertempur dengan mereka. Akhirnya, kedua-duanya Awang Daik dan Pak Long tewas di tangan Syed Abdul Rahman. Untuk menebus kekalahan mereka, Sultan Ibrahim menitahkan agar kedua-dua pendekar Johor itu berguru dengan Syed Abdul Rahman Yunani.
Ketika itu, Stamford Raffles tidak membenarkan apa jua seni beladiri dipelajari di Singapura, maka Syed Abdul Rahman dijemput mengajar di Mersing, Johor, di mana Awang Daik merupakan Pesuruhjaya Tinggi daerah itu.
Mulai saat itulah, kaedah beladiri itu dikenali sebagai Buah Pukul Mersing, di mana banyak dari golongan kerabat diraja, bangsawan dan pendekar yang turut sama menuntut. Antara orang yang mempelajari seni ini adalah Isa Sulaiman dan Yaakob Tera dan dikembangkan lagi kepada Pak Teh Muhammad Yasin bin Kubong, seorang anak watan Mersing.
Kemudian, seni ini diperturunkan kepada Abdul Rahman bin Awang Chik (Cu Aman) yang mewariskannya kepada Mohamed bin Chik (Pak Mat Kedidi).

Silat Gayang Lima
Silat Gayang Lima merupakan salah satu cabang dari silat Lian sebelum didaftarkan pada 17 hb. Ogos 2007 sebagai Persatuan Seni Silat Gayang Lima di cawangan Parit Raja, Johor. Silat Gayang Lima pada awalnya diterajui oleh bapak Subarjo Hj. Sukardi serta Ahli Jawatan kuasa, terbuka dari peringkat sekolah dari berumur 7 tahun sehingga 21 tahun.
Merupakan salah satu dari Perguruan Silat yang aktif bergerak di Johor.
Silat ini tidak menangkap, hanya memukul tidak kira dimana sahaja yang hendak dipukul. Pelajaran silat ini termasuk pergerakan lian 1 hingga 12. Lian adalah gabungan pergerakan berbentuk kaedah menggunakan senjata lapan iaitu dua tangan, dua siku, dua lutut dan dua kaki. Latihan lian akan menerbitkan buah pukul yang berasaskan kaedah seperti gayang, tekan, kebas, cincang dan sisip.

Gerak Silat Lian
Gerak Silat Lian adalah sejenis cara mempertahankan diri yang berasal dari Yunnan. Nama asal persilatan ini ialah Lian Yunnan, Buah Pukul Mersing, atau Lian 13. Ia telah mula bertapak di Tanah Melayu dengan dibawa oleh Syed Abdul Rahman pada Februari 1897 di Bandar Maharani, Muar, Johor.
Gerak Silat Lian ini dikembangkan di Kuantan, Pahang oleh Nazri Bin Hussin, di mana beliau telah mempelajari silat ini daripada Salleh Bin Mamat yang berasal dari Kampung Ibai, Kuala Terangganu, dan tinggal di Kampung Tanjung Api, Kuantan, Pahang.
Salleh Bin Mamat telah mempelajari Silat Lian daripada Hassan Bin Salleh di Kampung Mengambang, Telipot, Kuala Terengganu dalam tahun 1950-an. Hassan Bin Salleh pula telah belajar Silat Lian di Kampung Belimbing Juling, Endau, Johor daripada Ali Bin Kassim dalam tahun 1940-an.
Nazri Bin Hussin mula belajar silat ini pada tahun 1964 di Kampung Tanjung Api, Kuantan, Pahang. Beliau juga sempat mengambil ketetapan gerak laku Silat Lian daripada Ali Bin Kassim dalam tahun 1986 hingga 1987
Nazri bin Hussin telah di iktiraf sebagai Pembantu Gelanggang (Guru Kake) pada tahun 1965 hingga 1985 sebelum dilantik sebagai Guru Kanan dan Guru Utama. Pusat perkembangan dan pentadbiran silat ini adalah di Kuantan, Pahang. Silat ini telah didaftarkan secara rasmi pada 19 Disember 1996 dan kenali dengan nama Pertubuhan Gerak Silat Lian Malaysia ( PGSLM ).


0 comments:

Post a Comment